fb fb fb fb fb

Tentera Israel terus serbu hospital di Khan Younis

Kem penempatan penduduk Palestin di Rafah/REUTERS

GAZA, 22 Januari- Tentera Israel terus menyerang di barat Khan Younis dalam pertempuran di Gaza pada Isnin. Rejim zionis itu turut menyerbu sebuah Hospital Al-Khair menempatkan ramai penduduk cedera untuk mendapat rawatan, kata pegawai Palestin.

Tentera itu pertama kali mara ke daerah al-Mawasi berhampiran Pantai Mediterranean, barat Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza Ashraf al Qidra kepada Reuters, mereka menyerbu dan menangkap kakitangan perubatan.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata kereta kebal juga telah mengepung sebuah lagi Hospital Al-Amal yang juga ibu pejabat agensi penyelamat..

Qidra berkata sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh di Khan Younis, manakala pengepungan yang dilakukan menyebabkan lebih ramai terbunuh selain tidak dapat merawat penduduk cedera dalam seranagn itu.

"Pengepungan Israel menghalang ambulans bergerak untuk mendapatkan mayat dan penduduk yang cedera dari barat Khan Younis," katanya.

Penduduk berkata pengeboman dari udara, darat dan laut adalah yang paling hebat di selatan Gaza sejak perang bermula pada Oktober.

Sekurang-kurangnya 25,295 penduduk Gaza telah terbunuh sejak 7 Oktober lalu, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Isnin.

Majoriti 2.3 juta penduduk Gaza kini berada di kem penempatan di Rafah. REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI