KYIV, 15 November - Satu siri serangan peluru berpandu Rusia menggegarkan Kyiv pada Jumaat, mengorbankan enam mangsa di sebuah blok pangsapuri dalam serangan yang dikecam Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, sebagai cubaan keji dan ganas.
Beberapa jam kemudian, serangan dron Rusia ke atas sebuah pasar di selatan Ukraine turut meragut dua lagi nyawa.
Pada masa sama, Ukraine melancarkan peluru berpandu ke wilayah Rusia dan pegawai Moscow melaporkan kebakaran di sebuah loji penapisan minyak di Laut Hitam.
Serangan besar ini berlaku ketika Ukraine berdepan musim sejuk yang semakin hampir, dengan grid tenaga menjadi sasaran utama.
Ini antara serangan terbesar ke atas Kyiv sejak pencerobohan penuh Rusia pada 2022, dengan bangunan di kebanyakan daerah ibu kota terjejas.
Beberapa kawasan turut mengalami gangguan bekalan elektrik pada malam Jumaat.
Pihak berkuasa memaklumkan sebuah hospital, kedai dan pejabat antara yang rosak, dengan sekurang-kurangnya 36 orang cedera.
Serangan itu turut merosakkan bangunan Kedutaan Azerbaijan, memaksa Baku memanggil duta Rusia bagi menyatakan bantahan.
Di timur Kyiv, menyaksikan bangunan bertingkat hangus serta banyak tingkap dan balkoni pecah akibat letupan.
Penduduk, Maria Kalchenko, berkata rambutnya terbakar sewaktu cuba menyelamatkan diri.
“Pintu tercabut, api di merata-rata, jiran menjerit,” katanya, mengimbas saat cemas ketika menyelamatkan diri sebelum dinding berhampiran runtuh.
Zelensky, yang dijadualkan melawat Paris dan Madrid minggu depan, berkata serangan itu “dihitung dengan sengaja” untuk menyebabkan kemusnahan dan ketakutan maksimum terhadap orang awam.- AFP