fb fb fb fb fb

Penduduk Palestin kembali bersolat di masjid Tebing Barat

Penduduk Palestin menghadiri solat Jumaat di sebuah masjid selepas serangan yang menurut penduduk tempatan dilakukan oleh peneroka haram Israel, di kampung Deir Istiya berhampiran Salfit di Tebing Barat/ REUTERS

TEBING BARAT, 15 November - Penduduk Palestin di sebuah kampung di Tebing Barat yang diduduki Israel mengadakan solat Jumaat mingguan pada Jumaat selepas membersihkan graffiti berbaur penghinaan, serpihan kaca dan sisa pembakaran di sebuah masjid yang didakwa diserang peneroka haram Yahudi.

Penduduk di Deir Istiya yang membersihkan masjid itu memberitahu Reuters bahawa para peneroka telah memecahkan tingkap, menyembur slogan menghina Nabi Muhammad serta cuba membakar bangunan tersebut dalam serangan pada malam Rabu.

Serangan peneroka haram Yahudi semakin berleluasa di Tebing Barat menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), yang merekodkan sekurang-kurangnya 264 serangan terhadap penduduk Palestin pada bulan Oktober iaitu jumlah tertinggi sejak pemantauan bermula pada 2006.

“Itu adalah usaha mereka (peneroka haram Yahudi) untuk menguasai tanah di Tebing Barat.

"Tetapi kami tetap teguh dan tidak akan meninggalkan tanah kami,” kata Raed Salman, seorang pemimpin parti politik utama Palestin, Fatah.

Tebing Barat yang menempatkan 2.7 juta penduduk Palestin telah lama menjadi pusat aspirasi untuk membentuk sebuah negara merdeka pada masa depan, namun kerajaan Israel terus memperluas penempatan di kawasan itu, memecah-belah wilayah berkenaan.

PBB, Palestin dan kebanyakan negara menganggap penempatan berkenaan sebagai haram mengikut undang-undang antarabangsa.

Israel menolak dakwaan berkenaan, dengan mengatakan ia mempunyai hubungan sejarah berdasarkan kitab suci mereka.

Lebih setengah juta rakyat Israel kini tinggal di penempatan tersebut.

Penduduk Palestin berkata pasukan Israel tidak melindungi mereka daripada serangan peneroka haram.

Tentera Israel pula menyatakan askar sering dikerahkan untuk menangani sebarang insiden.

“Kami datang untuk solat Jumaat kerana ini adalah tapak suci Islam. Kami mahu menunjukkan kepada Netanyahu dan sekutunya bahawa masjid ini telah dibaiki dalam masa 24 jam dan kami akan mengembalikan permaidani tidak lama lagi,” kata seorang jemaah, Wadee' Salman, merujuk kepada perdana menteri Israel itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD