BEIJING, 15 November - China menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan ke Jepun, susulan beberapa hari pertukaran kritikan dan pemanggilan duta berikutan kenyataan Perdana Menteri baharu Tokyo mengenai kemungkinan serangan terhadap Taiwan.
Kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada 7 November lalu, secara meluas ditafsir sebagai memberi isyarat bahawa serangan ke atas pulau yang mengurus sendiri itu yang didakwa milik China dan hanya 100 kilometer dari pulau Jepun terdekat boleh mencetuskan tindakan ketenteraan Tokyo.
Pada Jumaat, Beijing memaklumkan bahawa ia telah memanggil duta Jepun untuk memberi teguran, manakala Tokyo pula memanggil duta China berikutan satu hantaran dalam talian yang dianggap “tidak wajar” dan kini telah dipadamkan.
Jepun menegaskan bahawa kedudukannya mengenai Taiwan tidak berubah.
Dalam hantaran dalam talian lewat Jumaat waktu Beijing, kedutaan China di Jepun memberi amaran kepada rakyatnya supaya berhati-hati ketika melancong ke negara itu.
“Baru-baru ini, pemimpin Jepun telah mengeluarkan kenyataan yang jelas provokatif mengenai Taiwan, yang telah merosakkan suasana untuk pertukaran rakyat-ke-rakyat,” kata hantaran di WeChat itu.
Situasi berkenaan menimbulkan risiko besar terhadap keselamatan dan nyawa rakyat China di Jepun, tambahnya.
“Kementerian Luar Negara serta kedutaan dan konsulat China di Jepun dengan tegas mengingatkan rakyat China untuk mengelak daripada melancong ke Jepun dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu lagi.
Beijing menegaskan bahawa Taiwan yang diduduki Jepun selama beberapa dekad sehingga 1945 adalah sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasai pulau berkenaan.-AFP