fb fb fb fb fb

Israel tolak 23 permohonan bantuan kemanusiaan ke Gaza

Foto Bernama

HAMILTON, 15 November - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat berkata Israel telah menolak 23 permohonan bantuan kemanusiaan sejak gencatan senjata di Gaza bermula pada 10 Oktober, menyebabkan bekalan bantuan kritikal tidak dapat memasuki wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Jutaan barangan tempat perlindungan yang amat diperlukan masih tersekat di Jordan dan juga di Mesir serta Israel, sementara menunggu kelulusan untuk dibawa masuk ke Gaza,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata, sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, pihak berkuasa Israel telah menolak 23 permohonan daripada sembilan rakan kongsi PBB untuk membawa masuk hampir 4,000 palet bekalan kritikal, termasuk khemah, kit penebat dan kerangka tempat perlindungan, kelengkapan tempat tidur, set dapur dan selimut.

Dujarric memberi amaran bahawa keadaan yang semakin merosot menjejaskan keselamatan orang awam, sambil menegaskan keadaan hidup yang amat daif turut meningkatkan pendedahan mereka kepada bahan letupan yang tidak meletup, dengan kanak-kanak antara golongan yang paling berisiko.

“Sejak gencatan senjata, rakan sekerja kami yang bertugas dalam tindakan pemusnahan periuk api telah merekodkan lebih 10 kecederaan akibat bahaya bahan letupan,” katanya, sambil menambah bahawa risiko itu bertambah buruk berikutan keluasan geografi Gaza yang amat terhad, sekali gus menyukarkan orang ramai mengelak kawasan yang mungkin terdapat bahan letupan yang belum meletup.

Menekankan betapa seriusnya kawasan berisiko itu, Dujarric berkata walaupun pencemaran minimum boleh membawa akibat meluas serta dahsyat.

“Sejak gencatan senjata, rakan kongsi kami telah bertindak balas kepada lebih 70 permintaan bagi penilaian risiko bahan letupan, menyokong 32 misi antara agensi dan menyampaikan sesi pendidikan risiko kepada lebih 49,000 orang di seluruh Gaza,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa lebih banyak dapat dilakukan sekiranya Perkhidmatan Tindakan Periuk Api PBB dibenarkan mendapatkan akses kepada alat pengesan, alat ganti dan peralatan yang diperlukan untuk melupuskan bahan letupan dengan selamat.

Beliau juga menekankan keperluan untuk pembukaan penuh dan berterusan bagi lintasan sedia ada serta lintasan tambahan, kelulusan untuk membawa masuk barangan dan peralatan kritikal tambahan serta pemudahan menyeluruh bagi kerja-kerja PBB dan rakan NGO mereka.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH