fb fb fb fb fb

PBB sambung misi keamanan di Abyei

Foto United Nations

NEW YORK,15 November - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menyambung misi keamanan di Abyei, sebuah wilayah yang kaya dengan minyak menjadi pertikaian antara Sudan dan Sudan Selatan, namun menegaskan bahawa tempoh masa bergantung kepada kemajuan dalam menyelesaikan konflik.

Resolusi sambungan bagi pasukan keamanan UNISFA disediakan oleh Amerika Syarikat dan melanjutkan misi tersebut sehingga November 2026.

Undian menyaksikan 12 negara menyokong, manakala Rusia, China dan Pakistan berdiam diri.

Pasukan UNISFA terdiri daripada 4,000 anggota polis dan tentera dengan misi utama melindungi orang awam.

Status wilayah itu masih belum diselesaikan sejak Sudan Selatan merdeka pada 2011dan kini sedang dilanda perang saudara yang ganas.

Abyei sepatutnya menjadi zon tidak bermiliter, namun pegawai PBB menyuarakan kebimbangan mengenai kehadiran pasukan Sudan Selatan serta pasukan paramiliter Sudan, Rapid Support Forces (RSF), yang terlibat dalam perebutan kuasa sejak 2023.

Resolusi pada Jumaat itu menyatakan bahawa Majlis Keselamatan berhasrat mempertimbangkan sambungan misi seterusnya berdasarkan “kemajuan yang dapat dibuktikan” oleh Sudan dan Sudan Selatan, termasuk penubuhan pasukan polis bersama di Abyei serta demiliterisasi sepenuhnya wilayah itu seperti dipersetujui pada 2011.

Resolusi itu juga menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, membentangkan laporan menjelang Ogos 2026 mengenai kemajuan dicapai kedua-dua negara dan menilai implikasi jika pasukan keamanan dikurangkan.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH