JENIN, 11 April- Tentera Israel meneruskan operasi pada hari ketiga di sekitar bandar Jenin, Tebing Barat, yang kononnya bertujuan untuk memburu individu bertanggungjawab melancarkan serangan berdarah di Tel Aviv, baru-baru ini.
20 rakyat Palestin ditahan dalam pertempuran bersenjata itu.
Ketegangan memuncak susulan serangan di Israel yang menyebabkan 14 orang terbunuh sejak tiga minggu lalu.
Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett memberi amaran bahawa negara Yahudi itu kini 'sedang menyerang'.
Sementara itu, empat rakyat Palestin terbunuh dalam insiden berasingan di seluruh wilayah yang diduduki pada Ahad, dan kumpulan pejuang di Jenin bersiap sedia untuk lebih banyak pertempuran.
Beribu-ribu penduduk Palestin berkabung membanjiri jalan-jalan di Jenin pada Isnin untuk pengebumian mereka yang terbunuh, kebanyakannya membawa senapang dan bendera Palestin.
(Penduduk Jenin berarak mengusung mangsa yang terkorban ke pengebumian / Foto AFP)
Abu Muadh, jurucakap tentera puak bersenjata di kem pelarian Jenin, pada Ahad menyeru gerakan am pejuangnya untuk menghadapi sebarang pencerobohan oleh musuh Zionis.
Tentera Israel menyasarkan saudara mara kepada Raad Hazem, pemuda Jenin berusia 28 tahun yang didakwa melakukan serangan pada Khamis lalu sehingga membunuh tiga penduduk Israel dan mencederakan 12 yang lain di bar Tel Aviv sebelum dia ditembak mati.
Tentera Israel pada Ahad terlibat dalam kejadian tembak menembak bersama adik-beradik Raad Hazem dan menuntut bapa mereka menyerahkan diri, sebelum merancang merobohkan kediaman keluarga itu.
Menurut agensi berita Wafa, seorang remaja bermotosikal yang melepaskan tembakan ke arah pegawai Israel dalam kejadian itu, Mohamed Zakarneh,17 tahun, merupakan korban terbaharu insiden tersebut.
Seorang lagi warga Palestin dari Bethlehem ditembak mati pada Ahad selepas melemparkan bom botol ke arah tentera Israel. -AFP