fb fb fb fb fb

Tentera Israel bunuh dua rakyat Palestin di kem pelarian Fawwar

Foto Fail/AFP

RAMALLAH, 26 Disember- Dua rakyat Palestin terbunuh pada Selasa dalam satu serbuan tentera Israel dterhadap kem pelarian berhampiran bandar Hebron, Tebing Barat yang diduduki, kata kementerian kesihatan Palestin.

Menurut laporan kementerian kesihatan Palestin, kedua-dua mereka berumur 17 dan 31 ditembak mati di kem pelarian Fawwar, selatan Hebron.

Bagaimanapun, tentera rejim zionis tidak memberikan komen segera berhubung perkara berkenaan.

Seorang penduduk dari kem memberitahu AFP bahawa tentera menyerbu kem dari pintu masuk selatan dan utara.

"Kedua-dua lelaki itu dibunuh di luar rumah mereka," kata seorang individu yang meminta namanya dirahsiakan bagi tujuan keselamatan.

Beliau berkata selepas kematian lelaki pertama, berlaku pertempuran membabitkan lima yang lain cedera dan seorang daripada mereka kemudian meninggal dunia.

Keganasan di seluruh Tebing Barat telah membara sejak perang antara Israel dan pejuang Hamas meletus di Gaza berikutan pelancaran Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu.

Serangan itu menyebabkan kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam terbunuh di Israel manakala di Gaza, lebih 20,600 orang telah terbunuh dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Lebih 300 rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki telah dibunuh oleh tentera dan peneroka Israel sejak perang Gaza meletus, menurut kementerian kesihatan Palestin di Ramallah.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM