fb fb fb fb fb

Israel kembalikan 80 jenazah rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza

FOTO AFP

RAFAH, 27 Disember- Israel memulangkan 80 jenazah rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza selepas membawa mereka dari bilik mayat dan kubur untuk memastikan tiada tebusan dalam kalangan mereka, kata sumber di kementerian kesihatan wilayah itu.

Jenazah itu dikembalikan melalui Palang Merah kepada pihak berkuasa Hamas bagi menguburkan kesemua jenazah dalam kubur besar di Gaza.

Seorang jurugambar AFP melihat seorang penggali sedang menurunkan beg mayat biru ke dalam parit di Rafah, jauh di selatan wilayah sempit itu.

Selepas pemeriksaan ke atas mayat, mereka dikembalikan ke Palang Merah melalui persimpangan Kerem Shalom antara Israel dan Semenanjung Gaza. Mereka kemudian diangkut dengan trak ke kubur besar kata sumber.

Tentera Israel tidak segera mengulas mengenainya.

Perang Gaza paling berdarah meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu dan membunuh kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka oleh Israel.

Mereka mengambil 250 tebusan, yang mana 129 daripadanya masih berada di Gaza.

Israel melancarkan pengeboman udara yang meluas dan pengepungan, diikuti pencerobohan darat.

Kempen itu membunuh 20,674 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI