Greta sertai protes desak EU kenakan banyak sekatan ke atas Israel

Foto REUTERS

BRUSSELS, 17 Julai – Aktivis iklim Greta Thunberg bersama kira-kira 100 penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di sini pada Rabu bagi menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Israel menjelang sidang kemuncak EU.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunjuk perasaan mendesak EU mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Israel dan menghentikan sokongan kepada tindakan ketenteraan.
  • Permintaan supaya EU menyekat import barangan dari penempatan Israel di Tebing Barat ke pasaran Eropah.
  • Aktivis menuntut EU mengutuk tindakan Israel, menegakkan undang-undang antarabangsa dan bertindak tegas menjelang sidang kemuncak.

Protes itu turut menggesa EU menyekat kemasukan barangan dari penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki ke pasaran Eropah.

“Kami mahu EU berhenti menyokong Israel. Selain itu, kami mahu EU mengutuk tindakan Israel dan menegakkan undang-undang antarabangsa,” kata seorang penduduk Brussels yang juga bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Andrea Vesela.

Para penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan tulisan ‘Jangan lupakan Palestine’, ‘EU, henti membeli barangan yang dicuri oleh Israel’, selain penunjuk perasaan turut bertindak memaparkan kain rentang dengan tulisan ‘Kami tidak akan tunduk dengan penjajahan’

Thunberg turut dilihat memegang plakad dan menyertai demonstrasi bersama aktivis lain.

Seorang aktivis Palestin, Sami Huraini, mendakwa EU bersubahat dalam jenayah genosid dengan membenarkan produk dari penempatan Israel memasuki pasaran Eropah.

Sidang kemuncak EU dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 Julai di Brussels yang menghimpunkan pemimpin negara anggota bagi membincangkan pelbagai keutamaan blok itu, termasuk isu berkaitan konflik di Gaza.

Demonstrasi berkenaan diadakan bagi meningkatkan tekanan terhadap pemimpin EU supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.