BOBIGNY, 26 Disember- Polis Perancis pada Selasa berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh seorang ibu dan empat anaknya yang ditemukan mati di rumah pada Hari Krismas lalu.
Menurut pendakwa raya tempatan, Jean-Baptiste Bladier, pihak berkuasa menemukan mayat wanita itu dan anak-anaknya masing-masing berusia sembilan bulan, empat, tujuh dan 10 tahun di pangsapuri mereka di bandar Meaux, timur Paris pada petang Isnin.
Sumber polis berkata suspek utama berusia 33 tahun telah ditahan di bandar berhampiran Sevran, pinggir timur laut Paris.
“Pangsapuri itu tidak menunjukkan tanda-tanda pecah masuk dan bapa mereka tidak hadir,” katanya sebelum ini.
Berdasarkan sumber rapat dengan kes berkenaan berkata ibu berusia 35 tahun itu dan anak-anaknya dibunuh dengan pisau.
Perkhidmatan polis kehakiman Versailles membuka siasatan terhadap kes berkenaan dengan merujuk sebagai "pembunuhan terancang".
Wilayah Paris baru-baru ini telah menyaksikan beberapa siri pembunuhan bayi.
Pada akhir November, seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku membunuh tiga anak perempuannya, berusia empat hingga 11 tahun dan menyerahkan diri.
Polis menemukan mereka mati di rumahnya di bandar Alfortville, di pinggir tenggara ibu negara.
Sebulan sebelum itu, seorang anggota polis membunuh tiga anak perempuannya sebelum dia membunuh diri di rumahnya di Vemars, timur laut ibu negara.
Secara purata, seorang wanita dibunuh setiap tiga hari di Perancis.
Kira-kira 118 wanita dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan mereka di Perancis tahun lepas.- AFP