fb fb fb fb fb

Tentera AS ditangkap, jual 'rahsia' pertahanan kepada China

Jabatan Kehakiman AS di Washington/AFP

WASHINGTON, 8 Mac- Seorang penganalisis perisikan Tentera Amerika Syarikat (AS) telah ditangkap pada hari Khamis kerana didakwa memberikan maklumat pertahanan negara kepada China.

Jabatan Kehakiman menerusi kenyataan berkata Sarjan Korbein Schultz, telah ditahan di Fort Campbell, sebuah pangkalan tentera di sempadan Kentucky-Tennessee.

Dia telah didakwa menyediakan maklumat perhubungan di Hong Kong, iaitu peta dan gambar yang berkaitan dengan pertahanan negara Amerika Syarikat sejak Jun 2022.

Jabatan Kehakiman berkata maklumat itu juga berkaitan perancangan AS sekiranya Taiwan diserang tentera, selain dokumen berkaitan pesawat pejuang dan helikopter, peralatan hipersonik, Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) dan kajian tentang tentera AS dan China.

Schultz didakwa telah dibayar sejumlah AS$42,000 untuk maklumat tersebut.

Dakwaan terhadap Schultz dibuat sejurus selepas penahanan dua kelasi Tentera Laut AS di California atas tuduhan mengintip China.

Wenheng Zhao dijatuhi hukuman penjara 27 bulan pada Januari selepas mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan pegawai perisikan asing dan menerima rasuah.

Zhao dan seorang lagi kelasi AS, Jinchao Wei, telah ditangkap pada Ogos lalu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN