fb fb fb fb fb

Delegasi Hamas tinggalkan Kaherah, rundingan gencatan senjata diteruskan

Foto Hiasan/ REUTERS

KAHERAH, 7 Mac- Delegasi Hamas meninggalkan Kaherah hari ini, tetapi akan meneruskan rundingan gencatan senjata Gaza sehingga persetujuan dicapai dengan Israel, kata kumpulan Palestin dalam satu kenyataan.

“Delegasi Hamas meninggalkan Kaherah pagi ini untuk berunding dengan kepimpinan pergerakan itu, dengan rundingan dan usaha berterusan untuk menghentikan pencerobohan, mengembalikan orang yang kehilangan tempat tinggal dan membawa bantuan- bantuan kepada rakyat kita,” kata kenyataan Hamas.

Namun pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, berkata Israel telah "mengagalkan" usaha untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata yang ditengahi oleh Qatar dan Mesir selama empat hari rundingan yang dihoskan oleh Kaherah.

Abu Zuhri memberitahu Reuters bahawa Israel menolak tuntutan Hamas untuk menamatkan serangannya di enklaf itu, menarik balik tenteranya, dan memastikan kebebasan masuk untuk mendapatkan bantuan dan kepulangan orang yang dipindahkan.

Israel tidak memberikan sebarang komen.

Rundingan Hamas melalui Qatar dan Mesir telah cuba untuk mendapatkan gencatan senjata selama 40 hari untuk bulan Ramadan, yang bermula awal minggu depan.

Perjanjian yang dibentangkan kepada Hamas untuk Gaza akan membebaskan beberapa tebusan berikutan serangan 7 Oktober di mana Israel berkata 1,200 orang terbunuh dan 253 diculik.

Banduan Palestin yang ditahan di Israel juga akan dibebaskan.

Hamas berikrar untuk meneruskan rundingan Kaherah, tetapi pegawai dalam kumpulan pejuang Palestin berkata gencatan senjata mesti diadakan sebelum tebusan dibebaskan, tentera Israel mesti meninggalkan Gaza dan semua penduduk Gaza mesti boleh pulang ke rumah yang telah mereka tinggalkan.

Sumber sebelum ini berkata Israel mengelak daripada rundingan Kaherah kerana Hamas enggan memberikan senarai tebusan yang masih hidup.

Hamas berkata ini adalah mustahil tanpa gencatan senjata kerana tebusan 'bertaburan' di zon perang.

Walaupun rundingan sebelum ini menemui jalan buntu, Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu bahawa perjanjian gencatan senjata masih boleh dilakukan.

"Kami terus percaya bahawa halangan tidak dapat diatasi dan kesepakatan boleh dicapai ... jadi kami akan terus berusaha untuk mendapatkannya," kata jurucakap jabatan negara AS, Matthew Miller di Washington.

Pegawai kesihatan di Gaza berkata jumlah orang yang disahkan terbunuh dalam serangan Israel kini telah melepasi 30,800 orang.

Ia melaporkan 83 kematian dalam tempoh 24 jam lalu dan saksi berkata pengeboman Israel berterusan di Khan Younis, bandar selatan Rafah, dan kawasan di tengah Gaza.

Mereka berkata Israel hari ini telah memulangkan 47 mayat rakyat Palestin yang telah dibunuhnya sebelum ini semasa serangan tentera di selatan Semenanjung Gaza, sebelum mereka dikebumikan.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI