SEOUL, 8 Mac- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyelia latihan artileri berskala besar di tengah-tengah kemarahan Pyongyang terhadap latihan bersama Amerika Syarikat (AS)-Korea Selatan yang bermula minggu ini, lapor media kerajaan pada Jumaat.
"Latihan pada Khamis bertujuan untuk meningkatkan kesediaan tempur dan keupayaan perang sebenar," lapor agensi berita negara KCNA, ketika ketegangan meningkat antara Pyongyang dan Seoul.
"Latihan menembak itu melibatkan unit sempadan, yang meletakkan ibu kota musuh dalam jarak serangan mereka," kata laporan KCNA dan berlaku sehari selepas Kim melawat pangkalan di wilayah barat negara itu.
Korea Utara pada Selasa memberi amaran bahawa Seoul dan Washington akan membayar "harga yang mahal" ke atas latihan ketenteraan berskala besar, dikenali sebagai "Perisai Kebebasan" yang bermula pada Isnin sekali gus menggesa sekutu untuk menghentikan "latihan perang yang panik" berkenaan.
Setakat tahun ini, Pyongyang telah mengisytiharkan Korea Selatan sebagai musuh utama, menolak usaha penyatuan semula dan mengancam perang meski wujud pelanggaran wilayah, walaupun "0.001 mm".
Washington dan Seoul memulakan latihan ketenteraan pada musim bunga tahunan mereka, dengan dua kali ganda bilangan tentera yang mengambil bahagian berbanding tahun 2023, untuk meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam bertindak balas terhadap ancaman nuklear yang semakin meningkat dari Pyongyang.
Korea Utara yang telah lama mengutuk latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan, menyelar tindakan itu sebagai latihan untuk pencerobohan.
Seoul berkata pada Selasa bahawa tenteranya telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berdepan provokasi Korea Utara.- AFP