TORONTO, 8 Mac- Kekejaman rejim Israel di Palestin kian berlarutan tanpa noktah.
Ratusan nyawa terkorban akibat bedilan peluru dan bom puak zionis setiap hari, usaha untuk melenyapkan negara Palestin daripada peta dunia.
Bantuan kemanusiaan yang dihantar dari pelbagai negara disekat, selain keganasan seksual terhadap tawanan meningkat.
Faktor kebuluran dan kekurangan bekalan makanan menghimpit warga Palestin, dalam meniti kehidupan sehari-harian.
Pada 29 Februari lalu, waktu subuh, kira-kira 30 trak konvoi yang membawa bantuan tiba di sepanjang jalan pantai di Bandar Gaza, dikerumuni penduduk Palestin yang terdesak untuk mendapatkan makanan demi menyara keluarga.
Namun, wujud dua naratif berbeza dalam situasi berkenaan.
Pihak berkuasa Israel berkata orang ramai telah terbunuh dalam situasi huru-hara itu, dengan beberapa individu mula hilang kawalan menyebabkan ada yang dipijak serta digilis trak bantuan.
Bagaimanapun, saksi mata Palestin yang mempunyai cerita berbeza, mengatakan bahawa tentera rejim Israel telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai ketika sibuk mendapatkan bantuan makanan.
Apa pun kebenarannya, episod itu meragut 112 nyawa rakyat Palestin dan 750 orang lagi tercedera.
Rentetan ketegangan memasuki hari yang ke-153, Israel terus mempertingkat serangan ke atas Palestin tanpa menghiraukan desakan global, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta kuasa luar.
Kesannya, kematian akibat kelaparan dan dahaga di Gaza mula meningkat.
Organisasi kemanusiaan terbesar dunia menerusi PBB, Program Makanan Sedunia dan agensi di Gaza berkata 15 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi di Gaza dan dijangka akan berlarutan lebih teruk sehingga Mei.
"Terdapat banyak undang-undang yang melarang penggunaan kelaparan sebagai senjata perang," kata pakar dalam undang-undang antarabangsa Universiti Portsmouth, Leïla Choukroune.
Perkara itu benar-benar mengerikan dan berlaku di Gaza serta beberapa negara bergolak lain seperti di Sudan, Yaman, Myanmar dan Haiti, membuktikan bahawa terdapat ratusan juta orang yang hidup dalam bahaya kelaparan.
Begitu juga kenyataan yang dikongsi pelapor PBB, Michael Fakhri pada 2022 mengenai hak makanan,"konflik dan keganasan adalah punca utama kelaparan, kekurangan zat makanan dan kebuluran".
Selain itu, penggunaan keganasan seksual yang disengajakan antara senjata penceroboh ketika konflik perang berlangsung.
Tindakan tidak berperikemanusiaan kepada penduduk awam, mengaibkan mangsa serta menimbulkan ketakutan dalam masyarakat tempatan.
Kaum wanita yang dirogol dalam peperangan berdepan diskriminasi oleh masyarakat, kelak mereka dewasa.
Menurut sumber PBB, rakyat Palestin yang dibebaskan daripada tahanan Israel telah mengalami keganasan seksual dan penghinaan di tangan penculik mereka.
Penyelidik undang-undang hak asasi manusia dari Universiti Nottingham, Rosella Pulvirenti berkata jenayah rogol dan keganasan seksual akan berlaku selama perang terus berlangsung dan telah merebak secara meluas dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
"Tetapi tidak sampai tahun 1990-an, selepas konflik Yugoslavia dan Rwanda, masyarakat antarabangsa mengecam penggunaan keganasan seksual sebagai senjata perang," tambah Pulvirenti, menurut kajiannya.
Pulvirenti menjelaskan meski terdapat pelbagai undang-undang antarabangsa yang terkait dengan jenayah keganasan seksual dalam peperangan, ia amat sukar untuk disiasat dan didakwa.
Sebagai permulaan, Gaza bukanlah tempat yang selamat untuk penyiasat menjejaki mangsa dan saksi, dalam apa jua keadaan malahan mungkin mereka tidak mahu memberi keterangan kerana takut, trauma atau malu.- REUTERS