WASHINGTON, 1 November – Calon presiden Republikan, Donald Trump, telah memfailkan saman terhadap CBS, mendakwa temu bual pesaingnya dari Parti Demokrat, Kamala Harris, dalam program 60 Minutes pada awal Oktober lalu adalah mengelirukan.
Trump mendakwa bahawa wawancara itu tidak menyampaikan maklumat secara menyeluruh dan mengelirukan pandangan berhubung perang antara Israel dan Hamas di Gaza.
Aduan yang difailkan di mahkamah persekutuan Daerah Utara Texas menyatakan CBS menyiarkan dua versi respons Harris tetapi tidak termasuk kenyataan lengkap yang menyentuh pengaruh pentadbiran Biden dalam konflik tersebut.
Saman tersebut menuntut perbicaraan oleh juri dan ganti rugi AS$10 bilion (kira-kira RM43.42 bilion).
Trump mendakwa CBS melanggar undang-undang Texas yang melarang penyampaian maklumat yang mengelirukan.
Jurucakap CBS News menafikan tuduhan Trump, menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan berjanji untuk mempertahankan kes tersebut dengan tegas.
Menurut CBS, bekas Presiden itu turut menarik diri daripada sesi wawancara yang telah dirancang bersama dalam program 60 Minutes.
Trump, yang bersaing sengit menjelang pilihan raya presiden AS, turut mengancam untuk menarik balik lesen penyiaran CBS jika beliau memenangi jawatan presiden.
Kes itu menambahkan lagi ketegangan antara Trump dan media, khususnya dalam liputan yang melibatkan pesaingnya, Kamala Harris. - REUTERS