KRASNOGORSK, 23 Mac- Lebih 60 orang terbunuh dan lebih 100 orang cedera dalam kejadian tembakan rambang di sebuah dewan konsert di Moscow.
Serangan turut mencetuskan kebakaran besar dan menurut pihak berkuasa, kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan bersenjata itu.
Seorang wartawan untuk agensi berita RIA Novosti yang berada di tempat kejadian berkata penyerang yang berpakaian seragam melakukan penyamaran memasuki bangunan, melepaskan tembakan dan melemparkan bom tangan atau bom pembakar.
Api merebak dengan cepat melalui dewan konsert Crocus City di pinggir bandar Krasnogorsk utara Moscow, dengan asap memenuhi bangunan itu dan pengunjung menjerit sambil bergegas ke pintu kecemasan.
Perkhidmatan Keselamatan Rusia FSB menyatakan sekurang-kurangnya 60 individu terbunuh dan lebih daripada 100 cedera, lapor media Rusia.
Pihak berkuasa berkata siasatan "pengganas" sedang dijalankan dan Presiden Rusia Vladimir Putin diberikan kemas kini "berterusan", kata jurucakapnya Dmitry Petkov kepada agensi berita Rusia.
Pengawal kebangsaan Rusia berkata ia berada di tempat kejadian dan sedang mengesan pelakunya.
Seorang wartawan AFP melihat pegawai polis dengan anjing pengesan memeriksa kenderaan yang diletakkan di sebelah bangunan itu.
Kumpulan yang bertanggungjawab melakukan serangan itu berkata pejuangnya menyerang "satu perhimpunan besar" di pinggir Moscow dan berundur ke pangkalan mereka dengan selamat.
Saluran berita Telegram Baza dan Mash, yang mempunyai hubungan rapat dengan perkhidmatan keselamatan, memuat naik rakaman video kebakaran dan asap yang keluar daripada dewan tersebut.
Perkhidmatan keselamatan yang dipetik Interfax berkata antara dua dan lima orang "memakai seragam taktikal dan membawa senjata automatik" melepaskan tembakan ke arah pengawal di pintu masuk dan kemudian mula menembak ke arah penonton.
Kementerian Perkhidmatan Kecemasan menerusi Telegram berkata berkata kira-kira 100 orang melarikan diri melalui ruang bawah tanah teater, manakala yang lain mencari perlindungan di atas bumbung.
Tiga buah helikopter terlibat dalam usaha memadam kebakaran. Kebakaran telah berjaya dikawal selepas tengah malam.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata ia adalah "serangan pengganas berdarah".
"Seluruh masyarakat antarabangsa mesti mengutuk jenayah keji ini," katanya di Telegram.
Presiden AS menyifatkan serangan itu sebagai "mengerikan" dan berkata tidak ada tanda yang menunjukkan ia berkaitan dengan konflik di Ukraine.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menafikan terlibat dalam serangan itu, manakala perisikan tenteranya menyifatkan insiden itu sebagai 'provokasi' Russia dan mendakwa perkhidmatan khas Moscow menjadi dalang di sebalik kejadian itu.-AFP