LONDON, 23 Mac - Misteri 'kehilangan', Puteri Wales, Kate Middleton akhirnya terjawab apabila Kate mengumumkan dirinya disahkan menghidap kanser.
Kate, isteri pewaris takhta Putera William berusia 42 tahun mendedahkan dirinya kini sedang menjalani proses kemoterapi pencegahan selepas menjalani pembedahan perut pada Januari lalu.
Puteri Wales membuat pengumuman itu menerusi satu video yang dirakamkan di Windsor, United Kingdom dengan senyuman yang terukir di bibir begitu kelihatan tenang.
Kate menyifatkan penemuan kanser itu sebagai 'satu kejutan besar' dan memohon agar diberikan 'masa, ruang dan juga privasi' ketika dirinya sedang menjalani rawatan kanser.
Kate yang berada dalam peringkat awal menjalani proses kemoterapi bagaimanapun berkata, dirinya kini 'sihat dan semakin kuat setiap hari'.
Menurut Kate lagi, beliau dan suaminya William telah melakukan segala yang terbaik dengan keadaannya yang terkini demi keluarga mereka.
Pada masa yang sama, Kate menjelaskan beliau dan Wiliam perlu masa untuk menjelaskan segala-galanya kepada anak mereka Putera George, 10 tahun, Puteri Charlotte, 8 tahun, dan Putera Louis, 5 tahun, dengan cara yang sesuai untuk meyakinkan ketiga-tiga orang anaknya bahawa dirinya akan pulih.
Pada Februari lalu, pegawai diraja turut mendedahkan bahawa Raja Charles III juga sedang menjalani rawatan untuk kanser.
Keadaan itu memaksa keluarga diraja Britain membatalkan semua acara penglibatan awam.
"Beta amat berbangga dengan Catherine atas keberaniannya bercakap mengenai penyakitnya," titah Charles.
Kate turut menerima mesej sokongan utama, termasuk dari Perdana Menteri UK Rishi Sunak dan White House.
Abang Kate, James Middleton, turut memuat naik gambar mereka bersama ketika kecil di Instagram.
"Kita telah melalui banyak hal untuk bertahun-tahun lamanya. Sebagai sebuah keluarga, kami juga akan sentiasa mendokong dan bersama kamu," kata abangnya James.
Sementara itu, Putera Harry dan isterinya Meghan Markle yang kini berada di Amerika Syarikat turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan agar Kate diberikan kesembuhan. - AFP