fb fb fb fb fb

Teleskop James Webb kesan tanda-tanda kehidupan di planet asing

Gambaran artis menunjukkan rupa bentuk planet luar sistem suria K2-18 b berdasarkan data saintifik. Ilustrasi ini telah dikeluarkan pada 11 September 2023. / Foto REUTERS

WASHINGTON, 19 April-Para saintis telah menemui petunjuk paling kukuh setakat ini mengenai kemungkinan kewujudan kehidupan di luar sistem suria.

Menggunakan Teleskop Angkasa James Webb, para saintis berjaya mengesan cap jari kimia dua gas biologi dalam atmosfera sebuah planet asing, K2-18 b.

Dua gas ,dimetil sulfida (DMS) dan dimetil disulfida (DMDS) yang terlibat dalam pemerhatian planet bernama K2-18 b itu dihasilkan di bumi oleh organisma hidup, terutamanya mikroorganisma seperti fitoplankton laut iaitu sejenis alga.

Petunjuk berkenaan memberi serba sedikit gambaran bahawa planet tersebut mungkin dihuni oleh kehidupan mikrob.
Namun, para penyelidik menegaskan bahawa ia bukanlah pengumuman penemuan kehidupan sebenar, sebaliknya hanyalah biosignature iaitu penunjuk kepada proses biologi dan penemuan ini harus dilihat dengan berhati-hati, sambil menunggu pemerhatian lanjut.

“Ini adalah detik transformasi dalam pencarian kehidupan di luar sistem suria,” kata ahli astrofizik Nikku Madhusudhan dari Institut Astronomi Universiti Cambridge, penulis utama kajian yang diterbitkan dalam Astrophysical Journal Letters.

“Kita kini telah memasuki era astrobiologi pemerhatian.”

Madhusudhan turut menyatakan bahawa pelbagai usaha sedang dijalankan untuk mencari tanda-tanda kehidupan dalam sistem suria kita, termasuk di Marikh, Zuhrah dan beberapa bulan berais.

Planet K2-18 b berkemungkinan besar tergolong dalam kategori yang dikenali sebagai dunia hycean iaitu planet yang diliputi oleh lautan air dan mempunyai atmosfera kaya dengan hidrogen, sesuai untuk kehidupan mikroorganisma.

Pemerhatian awal oleh Webb sebelum ini telah mengesan metana dan karbon dioksida dalam atmosfera K2-18 b, kali pertama molekul berasaskan karbon dikesan dalam atmosfera planet luar dalam zon boleh didiami.

Kini, dengan DMS dan DMDS dikesan pada kepekatan lebih daripada 10 bahagian sejuta, ia mencetuskan kemungkinan besar kehadiran aktiviti biologi.

Untuk perbandingan, kepekatan ini adalah beribu kali lebih tinggi berbanding di bumi.

"Satu-satunya penjelasan yang sesuai dengan semua data adalah bahawa K2-18 b adalah dunia hycean yang dihuni oleh kehidupan," kata Madhusudhan.

Namun begitu, beliau menegaskan perlunya keterbukaan dalam meneroka penjelasan lain, termasuk kemungkinan penghasilan gas tersebut tanpa melibatkan proses biologi.

Planet berkenaan diklasifikasikan sebagai planet "sub-Neptun", lebih besar daripada bumi tetapi lebih kecil daripada Neptun.

Para saintis menggunakan kaedah transit untuk menganalisis cahaya dari bintang induk apabila planet melintasinya dari pandangan Bumi.

Cahaya bintang yang menembusi atmosfera planet membolehkan pengesanan gas-gas tertentu.

Pemerhatian terbaharu itu menggunakan instrumen dan gelombang cahaya berbeza berbanding sebelumnya, memberikan hasil yang lebih kukuh.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD