BARCELONA, 19 April- Satu meteor dilaporkan menerangi langit malam di kawasan Lautan Balearic di Sepanyol pada awal pagi 13 April lalu.
Fenomena menakjubkan itu dirakam sekitar pukul 1.21 pagi waktu Eropah Tengah (CET), apabila meteor seakan sebutir bebola api itu melintasi ufuk sambil disinari cahaya bulan.
Penduduk di beberapa kawasan termasuk Vallirana di sini turut melaporkan melihat cahaya tersebut.
Menurut pakar, meteor terbentuk daripada serpihan komet dan asteroid yang terbakar apabila memasuki atmosfera bumi, menghasilkan jalur cahaya yang jelas kelihatan di langit.
Kedudukan geografi Sepanyol di selatan Eropah serta keadaan langit yang cerah dan tahap pencemaran cahaya yang rendah di kawasan luar bandar menjadikan negara itu antara lokasi terbaik untuk menyaksikan fenomena angkasa seperti hujan meteor. -Reuters