(FOTO REUTERS)
LIMA, 18 Mac - Taufan Yaku dan banjir serta tanah runtuh yang berlaku mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 kematian di Peru sejak beberapa bulan lalu dan lebih 50,000 orang terjejas, kata Presiden Peru, Dina Boluarte.
Taufan kuat tersebut mengundang malapetaka di seluruh negara Amerika Selatan itu dan sekurang-kurangnya 50 kematian dan 48 orang dilaporkan cedera dari tempoh 1 Januari hingga 14 Mac lalu.
Selain itu, lebih 1,300 rumah musnah, 640 kilometer jalan raya dan 111 jambatan rosak, lebih 11,000 hektar tanaman terjejas dan 28,000 haiwan hilang, menurut data rasmi.
Hujan lebat yang dicetuskan Taufan Yaku membawa kepada peningkatan paras air di Sungai Rimac yang melepasi ibu kota Lima.
(Hujan lebat yang dicetuskan Taufan Yaku membawa kepada peningkatan paras air di Sungai
Rimac yang melepasi ibu kota Lima/ Foto REUTERS)
Hujan lebat turut membanjiri jalan-jalan di daerah San Miguel dengan pekerja bertungkus lumus mengalihkan air banjir ke dalam sistem perparitan.
Sebuah hospital di bandar itu juga telah terjejas, di mana bilik-bilik yang ditenggelami air dan bumbung serta siling yang rosak telah menyebabkan gangguan kepada operasinya.
Doktor dan jururawat dilihat cuba mengeluarkan air banjir dari bangunan itu dengan menggunakan baldi dan penyapu.
Presiden Boluarte pada Jumaat menyeru semua sektor masyarakat untuk berusaha membangunkan semula negara yang dilanda bencana itu. -REUTERS