fb fb fb fb fb

Keuntungan Aramco susut 22 peratus, dividen dan aliran tunai berkurang

Foto hiasan

RIYADH, 5 Ogos – Syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco melaporkan penurunan keuntungan suku kedua sebanyak 22 peratus pada Selasa. Ia susulan penurunan hasil pendapatan dan peningkatan kadar hutang syarikat.

Dalam kenyataan kewangan terbarunya, Aramco mencatatkan keuntungan bersih sebanyak AS$22.7 bilion bagi tiga bulan berakhir 30 Jun, kurang daripada anggaran median yang dikumpul syarikat itu daripada 17 penganalisis.

Harga purata jualan minyak mentah Aramco bagi suku tersebut ialah AS$66.7 setong, berbanding AS$85.7 pada suku kedua 2024 dan AS$76.3 pada suku pertama tahun ini.

Jumlah pinjaman syarikat meningkat kepada AS$92.9 bilion setakat 30 Jun, berbanding AS$74.4 bilion setahun lalu. Nisbah hutang naik kepada 6.5 peratus, berbanding -0.3 peratus pada tempoh sama tahun lalu dan 5.3 peratus pada suku sebelumnya.

Walaupun keuntungan merosot, Aramco tetap mengesahkan pembayaran dividen seperti yang diumumkan sebelum ini sebanyak AS$21.3 bilion bagi suku kedua, termasuk kira-kira AS$200 juta dividen berdasarkan prestasi – satu mekanisme yang diperkenalkan selepas lonjakan harga minyak pada 2022 susulan konflik Rusia-Ukraine.

Pada Mac lalu, Aramco menjangka jumlah dividen untuk tahun 2025 berjumlah AS$85.4 bilion, menyusut 37 peratus berbanding lebih AS$124 bilion tahun sebelumnya.

Bahagian dividen berdasarkan prestasi pula menyusut 98 peratus kepada AS$900 juta, selari dengan penurunan aliran tunai bebas syarikat kepada AS$15.2 bilion, susut hampir satu perlima tahun ke tahun.

Aramco kini menghampiri satu perjanjian pelaburan bernilai AS$10 bilion bersama konsortium yang diketuai BlackRock, selain mempertimbangkan penjualan sehingga lima loji janakuasa berasaskan gas untuk menjana sehingga AS$4 bilion, selaras dengan desakan kerajaan untuk meningkatkan keuntungan dan pembayaran dividen.

Bagi kerajaan Arab Saudi yang memiliki 81.5 peratus pegangan langsung dalam Aramco dan 16 peratus lagi melalui Dana Kekayaan Negara (PIF), dividen daripada Aramco adalah sumber pendapatan kritikal, khususnya ketika usaha sedang giat dijalankan untuk mempelbagaikan ekonomi negara daripada pergantungan kepada minyak.

Minyak menyumbang 62 peratus daripada hasil kerajaan tahun lalu, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan Arab Saudi memerlukan harga minyak melebihi AS$90 setong bagi menyeimbangkan belanjawan 2025.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI