TOKYO, 5 Ogos – Jepun mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarah negara itu apabila bacaan mencecah 41.8 darjah Celsius (107.2 Fahrenheit) pada Selasa, sekali gus mendorong kerajaan mengeluarkan nasihat kecemasan agar orang ramai kekal berada di dalam rumah bagi mengelakkan risiko kesihatan berkaitan cuaca panas melampau.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, suhu di bandar Isesaki di wilayah Gunma mengatasi rekod terdahulu iaitu 41.2°C yang dicatatkan minggu lalu di bandar Tamba, wilayah Hyogo.
Gelombang haba itu juga memberi kesan kepada warga emas. Penduduk di wilayah Saitama, Ayumi Hatano, 59, berkata, ramai penduduk yang tua meninggal dunia.
"Ramai orang tua meninggal dunia akibat strok haba. Saya sendiri rasa mungkin tidak akan hidup lama lagi," katanya.
Sementara itu, pekerja syarikat automotif Takeshi Ishikawa, 63, menyifatkan keadaan cuaca di Jepun sebagai 'panas membawa maut'.
"Sekiranya suhu mencecah 42°C, ia akan lebih panas daripada air mandian saya. Biasanya mandian saya pada suhu 40°C," katanya.
Seorang pekerja pejabat di syarikat hartanah Hiromu Haraguchi, 22, pula mengakui sukar berada di luar sekiranya mengambil masa yang lama.
"Berada di luar sangat mencabar. Kalau boleh, saya mahu duduk di rumah dengan pendingin hawa sepanjang hari.
"Apabila keluar, saya perlu membawa payung khas ultraungu (UV) dan tuala sejuk di leher sebagai langkah perlindungan," katanya.
Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun, lebih 53,000 individu dimasukkan ke hospital akibat strok haba sejak awal musim panas ini.
Purata suhu di seluruh Jepun terus menunjukkan peningkatan, malah mencatat rekod suhu tertinggi bagi bulan Julai untuk tahun ketiga berturut-turut.
Pada masa sama, wilayah timur laut yang terletak berhampiran Laut Jepun mengalami kekurangan hujan yang kritikal, menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian padi negara itu.- REUTERS