LONDON, 5 Ogos – Britain akan mula melaksanakan perjanjian untuk memulangkan sebahagian migran yang tiba dengan bot kecil ke Perancis dalam tempoh beberapa hari lagi.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan kerajaan bagi menangani isu migrasi haram, yang menyaksikan lebih 25,000 individu tiba di Britain melalui laluan laut setakat 2025.
Menerusi perjanjian baharu itu, Perancis bersetuju menerima semula individu tanpa dokumen sah yang tiba di Britain melalui bot kecil. Sebagai balasan, Britain pula akan menerima jumlah sama bagi pemohon suaka sah yang mempunyai hubungan keluarga di UK.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan skim perintis "one in, one out" ini bulan lalu.
Sumber kerajaan memaklumkan, perjanjian itu akan melibatkan kira-kira 50 pemulangan setiap minggu, atau 2,600 individu setahun, iaitu sebahagian kecil daripada lebih 35,000 migran yang tiba tahun lalu.
Walaupun beberapa pihak mengkritik skala skim berkenaan sebagai tidak cukup besar untuk bertindak sebagai langkah pencegahan, Menteri Dalam Negeri UK, Yvette Cooper, menegaskan bahawa ia dilihat sebagai salah satu komponen dalam rancangan lebih menyeluruh kerajaan.
Kerajaan juga telah mengenakan sekatan terhadap penyeludupan migran, menghapuskan iklan berkaitan di media sosial, dan bekerjasama dengan syarikat penghantaran untuk membanteras pekerjaan haram yang sering dijanjikan kepada kumpulan itu.
Perjanjian mengenai skim tersebut telah ditandatangani minggu lalu, namun tidak diumumkan secara terbuka sehingga pengesahannya pada hari ini.
Britain memaklumkan bahawa Suruhanjaya Eropah dan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) telah memberikan lampu hijau terhadap pelaksanaan pelan tersebut.- REUTERS