fb fb fb fb fb

Hujan lebat landa Guangdong, pasukan bomba laksana misi menyelamat

Anggota bomba menyelamatkan wanita warga emas yang menyelamatkan diri dengan memanjat pokok berikutan banjir di daerah Huidong/ REUTERS

GUANGDONG, 5 Ogos – Pasukan bomba di wilayah Guangdong, selatan China, melaksanakan pelbagai operasi menyelamat pada Isnin susulan hujan lebat berterusan yang mencetuskan banjir kilat di beberapa bandar.

Ia sekali gus menyebabkan penduduk terperangkap dalam air yang semakin naik.

Di daerah Huidong, bandar Huizhou, pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas yang terpaksa memanjat pokok bagi menyelamatkan diri daripada arus deras secara mengejut.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati wanita terbabit berpaut pada dahan pokok di kawasan terpencil yang ditenggelami air.

Meskipun berdepan dengan cabaran seperti kawasan berair dalam serta penglihatan yang terhad, pasukan penyelamat berjaya membawa wanita tersebut ke tempat selamat.

Sementara itu, di kawasan lain di Huidong, pasukan bomba turut menggunakan bot getah untuk menyelamatkan 25 mangsa yang terperangkap akibat limpahan banjir pada hari sama.

Di bandar perindustrian Dongguan, hujan lebat melampaui kapasiti sistem perparitan, mengakibatkan jalan raya ditenggelami air serta kenderaan dan penduduk terperangkap.

Di daerah Zhangmutou, pasukan bomba bertindak menyelamatkan individu yang terkandas di dalam kenderaan dan premis perniagaan apabila paras air hampir mencecah bumbung kenderaan.

Sejak Ahad, hujan lebat hingga ribut petir telah melanda kawasan meluas di wilayah ini termasuk Shenzhen, Dongguan, Huizhou dan Shanwei.

Sebagai langkah keselamatan, pihak berkuasa wilayah menaikkan tahap amaran kecemasan banjir kepada Tahap II dalam tempoh 24 jam, dengan lebih 100 daerah dan kawasan mengaktifkan protokol kecemasan masing-masing.

China mengguna pakai sistem empat peringkat bagi amaran kecemasan banjir, dengan Tahap I merupakan tahap paling kritikal.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI