GAZA, 5 Ogos – Beberapa pesawat kargo menjatuhkan bantuan kemanusiaan dari udara ke wilayah Gaza pada Selasa. Ia merupakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyalurkan bekalan asas kepada penduduk terjejas akibat konflik dicetuskan rejim Zionis Israel.
Tindakan itu dilakukan susulan kebimbangan global yang semakin memuncak selepas tersebarnya foto menyayat hati penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak, yang mengalami kebuluran.
Sebagai tindak balas terhadap tekanan antarabangsa yang semakin meningkat ke atas Israel, beberapa langkah bagi memperluas akses bantuan kemanusiaan ke Gaza diumumkan.
Ia termasuk menghentikan pertempuran untuk sebahagian waktu di beberapa kawasan, membenarkan penghantaran bantuan melalui udara serta menetapkan laluan selamat untuk konvoi bantuan.
Konflik di Gaza bermula apabila Israel melancarkan serangan pada 7 Oktober 2023.
Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza sejak itu, serangan berkenaan telah meragut lebih 60,000 nyawa rakyat Palestin.- REUTERS