GENEVA, 5 Ogos – Pusingan akhir rundingan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi merangka perjanjian global menangani pencemaran plastik bermula dengan semangat positif.
Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC) mengenai Pencemaran Plastik Luis Vayas Valdivieso berkata, sesi tersebut dilihat bermula dengan baik tanpa sebarang kelewatan.
"Inilah semangat mendesak dan penuh tanggungjawab yang diperlukan ketika ini. Kini kita mempunyai haluan jelas. Kita mesti menempuh perkara ini secara bersama dengan azam, profesionalisme dan saling menghormati.
"Saya mengharapkan satu perjanjian yang berkesan, perjanjian yang benar-benar memenuhi mandat Resolusi 5/14. Kami sedang berusaha dan berunding untuk menjayakan mandat ini demi mewujudkan satu perjanjian yang mempunyai peraturan kukuh untuk memerangi serta menamatkan pencemaran plastik.
"Perjanjian ini bukan sahaja berkesan apabila dikuatkuasakan, tetapi juga akan terus relevan untuk pada masa depan," katanya dalam sidang media di luar sesi perbincangan di sini.
Lebih 180 negara memulakan rundingan berkenaan perjanjian bersejarah itu pada Selasa, walaupun harapan untuk mencapai perjanjian berani yang mampu mengurangkan pencemaran plastik kini pudar.
Usaha Kesatuan Eropah (EU) dan negara kepulauan kecil untuk mengehadkan pengeluaran 'plastik dara' – yang diperbuat daripada petroleum, arang batu dan gas – dikatakan berdepan tentangan daripada negara pengeluar petrokimia serta pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar PBB Inger Andersen berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan negara anggota masih ketara, khususnya berkaitan isu had pengeluaran plastik, pengurusan produk plastik serta bahan kimia berisiko, termasuk aspek pembiayaan kepada negara membangun untuk melaksanakan perjanjian tersebut.
"Masih ada negara anggota yang melihat aspek pengeluaran melalui lensa berbeza. Namun, banyak perbualan yang sangat membantu telah berlangsung dan kita akan lihat bagaimana definisi penggunaan dan pengeluaran lestari serta kitar hayat penuh akan ditentukan kelak," katanya.- REUTERS