fb fb fb fb fb

India-Filipina perkukuh hubungan dua hala, percepat perjanjian FTA

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr (kiri) dan Perdana Menteri India, Narendra Modi/ REUTERS

NEW DELHI, 5 Ogos – India dan Filipina bersetuju untuk mempercepat usaha memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala, menurut kenyataan bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada Selasa.

Presiden Marcos kini dalam lawatan rasmi ke India, menjadikannya Presiden Filipina kelima yang mengunjungi negara itu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi memaklumkan, India-Filipina meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik

"Kami komited terhadap keamanan, keselamatan, kemakmuran dan pematuhan kepada peraturan berasaskan undang-undang di rantau Indo-Pasifik.

"Kami menyokong kebebasan pelayaran selaras dengan undang-undang antarabangsa. Tahun hadapan, Filipina akan mempengerusikan ASEAN dan kami akan memberikan sokongan penuh bagi menjayakannya," katanya.

Sementara itu Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berkata, kerjasama Filipina-India menunjukkan perkembangan positif meliputi bidang keselamatan dan pertahanan, perdagangan, pelaburan, kesihatan dan lain-lain.

"Maka saya amat berbesar hati kerana hari ini kita memperkukuh persahabatan ini dengan menjadikannya satu perkongsian strategik sepenuhnya.

"Bidang ekonomi menjadi pemacu utama hubungan kedua-dua negaraa sejak lebih tujuh dekad lalu. Selaras dengan semangat Perkongsian Strategik ini, saya dan Perdana Menteri Modi telah mengarahkan pasukan ekonomi untuk menerajui perdagangan dua hala yang kini bernilai AS$3.3 bilion.

"Sehubungan itu, kami bersetuju untuk mempercepat kerja ke arah memeterai perjanjian perdagangan pilihan dua hala," katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memaklumkan bahawa kapal tentera laut Filipina dan India telah menjalankan pelayaran bersama buat kali pertama di Laut China Selatan pada Isnin (4 Ogos).

Sejak akhir 2023, Filipina telah mempergiat aktiviti kerjasama maritim dengan beberapa negara sebagai usaha mengekang tuntutan China di kawasan perairan berkenaan. Aktiviti tersebut turut melibatkan sekutu perjanjiannya, Amerika Syarikat, serta Jepun, Australia, Perancis dan Kanada.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI