fb fb fb fb fb

4 maut, lebih 50 masih hilang akibat banjir lumpur landa Uttarakhand

Anggota tentera menyelamatkan penduduk di bawah runtuhan akibat banjir di Uttarakhand/ REUTERS

UTTARAKHAND, 5 Ogos – Banjir lumpur melanda sebuah perkampungan di negeri pergunungan Himalaya, Uttarakhand di utara India, mengorbankan sekurang-kurangnya empat individu manakala lebih 50 lagi dilaporkan hilang.

Menurut pihak berkuasa dan laporan saluran TV tempatan pada Selasa pasukan tentera dan agensi tindak balas bencana dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan dan lumpur tebal.

Saluran TV tempatan turut menyiarkan rakaman saat air deras dan lumpur turun dari lereng gunung menuju perkampungan Dharali.

Menurut kemas kini video yang dikongsikan oleh pejabat Ketua Menteri negeri itu, sebahagian rumah telah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh tersebut.

Pentadbir Daerah Uttarkashi, Prashant Arya memaklumkan kepada media tempatan bahawa empat mangsa disahkan maut dan beberapa individu lain berjaya diselamatkan.

Uttarakhand terkenal sebagai kawasan berisiko tinggi terhadap banjir dan tanah runtuh.

Pada tahun 2021, sekurang-kurangnya 200 individu terbunuh apabila banjir kilat memusnahkan dua projek hidroelektrik di negeri itu.

Terdapat kira-kira 10,000 glasier di Himalaya India, dan kebanyakan daripadanya semakin mencair akibat pemanasan iklim global.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI