GAZA, 6 Ogos - Beberapa rakyat Palestin mengalami kecederaan akibat serangan tentera Israel ketika mereka sedang menunggu bantuan kemanusiaan di Gaza pada Selasa.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Nasser di Khan Yunis, dengan rakaman video menunjukkan mereka berlumuran darah dan terbaring di lantai hospital yang sesak.
Saksi mendakwa serangan itu berlaku ketika mereka cuba mendapatkan bantuan daripada trak agihan yang membawa bekalan asas.
Walaupun menerima tekanan antarabangsa agar gencatan senjata dilaksanakan bagi meredakan kebuluran dan krisis kemanusiaan di wilayah terkepung itu, usaha mendamaikan konflik antara Israel dan Hamas dilaporkan gagal.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh akibat tembakan Israel ketika menunggu trak bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di utara Gaza.
Manakala di selatan Gaza, 20 lagi dilaporkan cedera dalam kejadian serupa berhampiran kawasan Morag, dekat Rafah, menurut petugas perubatan.
Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan lapan lagi kematian dalam tempoh 24 jam lalu akibat kebuluran dan kekurangan zat, manakala sekurang-kurangnya 80 orang maut dalam serangan terkini tentera Israel. –REUTERS