(FOTO REUTERS)
JAKARTA, 18 Mac - Indeks harga pengguna (CPI) Indonesia meningkat kepada 5.47% pada Februari tahun ini, berbanding 2.64% pada Mac tahun lalu pada bulan Ramadan ketika itu, menurut data bank pusat terkini.
Ketika rakyat Indonesia bersiap sedia menyambut kehadiran bulan Ramadan akan datang, peningkatan inflasi dilihat melemahkan semangat mereka.
Kenaikan harga sangat dirasai oleh pembeli yang memenuhi pasar basah di Jakarta bagi membeli ikan, daging dan sayur-sayuran pada harga paling murah menjelang bulan Ramadan.
“Dulu kami boleh sediakan makanan selama dua hari, kini hanya boleh buat hari demi hari,” kata suri rumah, Titin.
"Setiap harga makanan melambung tinggi. Saya berharap semuanya boleh kembali seperti biasa, kerana harga telah naik tiga kali ganda."
Harga makanan di Indonesia lazimnya meningkat menjelang bulan Ramadan, ditambah dengan faktor kekurangan minyak sawit mentah, yang membawa kepada kenaikan harga minyak masak sejak tahun lalu.
(Indeks harga pengguna (CPI) Indonesia meningkat kepada 5.47% pada Februari tahun ini,
berbanding 2.64% pada Mac tahun lalu pada bulan Ramadan ketika itu/Foto REUTERS)
Tahun ini, harga makanan terutamanya beras dan minyak masak, sekali lagi meningkat di kebanyakan wilayah pada bulan lalu dan ia dijangka meningkat lagi dalam beberapa minggu akan datang berikutan permintaan tinggi, menurut gabenor bank pusat tersebut.
Pembeli juga tidak sabar untuk berbelanja berbanding setahun lalu apabila langkah penutupan akibat COVID-19 yang berlarutan menghalang orang ramai daripada berkumpul dalam jumlah besar dan mengehadkan pembelian mereka.
“Kami mengharapkan lebih banyak jualan kurma pada musim umrah, musim haji dan Ramadan,” kata penjual kurma, Lisa Nurainun memandangkan kurma biasa dimakan pada bulan puasa.
Laporan media terkini mengenai skandal cukai di Indonesia membabitkan pegawai pertengahan dan tinggi, diburukkan lagi dengan liputan media sosial yang menunjukkan gaya hidup mewah ahli keluarga pegawai awam, juga menyerlahkan jurang pendapatan di negara itu.
Bagi membantu rakyat Indonesia menangani inflasi yang bertambah buruk dengan jangkaan cuaca kering dan penurunan dalam pengeluaran makanan, ketua menteri ekonomi Airlangga Hartarto berkata kerajaan akan menyediakan bantuan dengan mengagihkan beras, telur dan ayam pada bulan Ramadan. -REUTERS