WASHINGTON, 18 Mac-Meta hari ini mengumumkan bahawa ia melancarkan perkhidmatan pengesahan berbayar untuk Instagram dan Facebook, dengan bayaran bulanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg berkata pengguna perlu membayar US$11.99 (RM54) sebulan jika menggunakan aplikasi laman sesawang dan US$14.99 (RM67.5) sebulan di telefon bimbit untuk tanda semak biru.
“Anda boleh mendapatkan lencana, perlindungan penyamaran proaktif dan akses terus kepada sokongan pelanggan,” lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan Zuckerberg menerusi Saluran Meta di Instagram.
Perkhidmatan langganan itu pertama kali dilancarkan di Australia dan New Zealand bulan lepas dan memerlukan kad pengenalan untuk mengesahkan identiti.
Pengguna juga tidak dibenarkan menukar nama profil, nama pengguna, foto dan lain-lain melainkan mereka memfailkan semula proses pengesahan.
Pengguna juga perlu berumur 18 tahun untuk layak bagi perkhidmatan pengesahan.
Bagaimanapun, pengguna Facebook dan Instagram yang sudah disahkan tidak perlu membayar.-BERNAMA
(FOTO AFP)