SYDNEY, 28 Oktober - Dua pekerja maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden letupan di sebuah lombong yang baru dibuka semula di New South Wales, Australia.
Menurut polis, pasukan kecemasan bergegas ke bandar perlombongan terpencil Cobar, kira-kira 700 kilometer barat laut Sydney, selepas menerima laporan mengenai beberapa mangsa yang cedera parah dalam insiden berkenaan.
Kejadian itu disifatkan oleh Ketua Menteri negeri, Chris Minns, sebagai 'peringatan menyedihkan' terhadap bahaya industri perlombongan.
“Ini merupakan hari yang amat menyedihkan bagi komuniti Cobar dan seluruh industri perlombongan,” katanya dalam satu kenyataan.
Chris Minns menegaskan meskipun keselamatan dalam industri perlombongan telah dipertingkatkan, tragedi itu membuktikan keperluan untuk terus berwaspada terhadap risiko di tempat kerja.
Media tempatan melaporkan letupan berlaku di lombong Endeavor yang merupakan pengeluar perak, zink dan plumbum dimiliki oleh Polymetals Resources Ltd.
Syarikat itu setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Lombong berkenaan mula beroperasi sejak 1982 namun ditutup pada 2020 untuk kerja penyelenggaraan.
Polymetals mengambil alih tapak tersebut pada 2023 dan memulakan semula operasi perlombongan tahun ini. - REUTERS