fb fb fb fb fb

AS, Jepun meterai perjanjian bekalan mineral kritikal dan nadir bumi

Foto Reuters

TOKYO, 28 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menandatangani satu perjanjian rangka kerja bagi menjamin bekalan mineral kritikal dan nadir bumi melalui aktiviti perlombongan dan pemprosesan.

Menurut kenyataan White House, kedua-dua negara akan bekerjasama menggunakan dasar ekonomi dan pelaburan bersama bagi membangunkan pasaran mineral yang lebih pelbagai, telus dan stabil.

Perjanjian itu juga bertujuan mengenal pasti projek bersama dalam sektor seperti magnet dan bateri dalam tempoh enam bulan serta membangunkan stok simpanan mineral utama.

Langkah ini dilihat sebagai usaha Washington dan Tokyo mengurangkan kebergantungan terhadap China, yang kini menguasai sebahagian besar bekalan global bahan penting bagi pembuatan telefon pintar, kenderaan elektrik dan jet tempur.

Selepas majlis pemeteraian perjanjian di Tokyo, Trump dan Takaichi dijadual melawat pangkalan tentera laut Amerika di Yokosuka, sebelum Trump bertemu pemimpin perniagaan Jepun.

Trump akan berlepas ke Korea Selatan esok bagi mengadakan rundingan dengan Presiden China, Xi Jinping, dengan harapan untuk mencapai gencatan dalam perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu. - REUTERS

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN