fb fb fb fb fb

Korban di Gaza mencecah lebih 68,500

Kezaliman Zionis di bumi Gaza tidak bernoktah, meskipun gencatan senjata dikuatkuasakan /Foto Reuters

GAZA, 28 Oktober - Angka korban di Semenanjung Gaza meningkat kepada 68,527 orang, manakala 170,395 lagi cedera sejak konflik tercetus pada 2023.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, hanya dalam tempoh 24 jam lalu, lapan maut dan 13 mangsa cedera dibawa ke hospital di seluruh wilayah itu.

Sejak gencatan senjata baharu berkuat kuasa pada 10 Oktober, sebanyak 93 rakyat Palestin terbunuh dan 337 lagi cedera.

Jurucakap Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir al-Balah, Khalil Al-Daqran berkata tentera Zionis masih menghalang kemasukan bantuan perubatan, mengakibatkan penyakit merebak di Gaza.

Setakat ini, hanya sembilan trak bekalan perubatan dibenarkan masuk, jauh daripada mencukupi.

Beliau turut mendedahkan lebih 70,000 penduduk Gaza dijangkiti hepatitis C dan memerlukan rawatan segera di luar wilayah itu, manakala 41 peratus pesakit buah pinggang meninggal dunia akibat kekurangan peralatan dan kemusnahan unit dialisis.

Hospital Syuhada Al-Aqsa menyeru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya mendesak Israel bagi membenarkan kemasukan bantuan perubatan dan menyalurkan sokongan tenaga kerja kesihatan ke Gaza. - REUTERS

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN