fb fb fb fb fb

Kesatuan Afrika (AU) desak henti pertempuran di El-Fasher serta-merta

FOTO AFP

ADDIS ABABA, 28 Oktober -Kesatuan Afrika pada Selasa mengecam dakwaan “kekejaman” dan laporan “jenayah perang” di hab strategik Sudan, El-Fasher, serta menggesa agar pertempuran dihentikan serta-merta.

Selepas dikepung selama 18 bulan, bandar itu telah ditawan pada Oktober oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023.

Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf, “menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan keganasan dan laporan kekejaman” di El-Fasher, menurut satu kenyataan di X.

Beliau turut mengecam “dakwaan jenayah perang dan pembunuhan berasaskan etnik terhadap orang awam.”

Beliau juga menyeru agar “pertempuran dihentikan serta-merta dan laluan kemanusiaan dibuka bagi membolehkan bantuan menyelamat nyawa disalurkan kepada penduduk yang terjejas.”

Youssouf menegaskan bahawa tiada “penyelesaian secara ketenteraan” terhadap krisis tersebut, sambil menggesa semua pihak agar berunding dan “komited kepada proses politik yang aman serta inklusif.”

Pada Isnin, tentera Sudan berkata bahawa mereka telah berundur dari El-Fasher, manakala Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran keras mengenai kekejaman yang dilakukan oleh RSF.

Penaklukan bandar di barat Darfur itu berpotensi menjadi titik perubahan penting dalam peperangan di Sudan, yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan hampir 12 juta orang kehilangan tempat tinggal. -AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD