TOKYO, 28 Oktober - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi bagi membincangkan isu perdagangan dan keselamatan.
Dalam pertemuan di Istana Akasaka, kedua-dua pemimpin dijadual menandatangani perjanjian pelaburan bernilai AS$550 bilion yang merangkumi sektor pembinaan kapal serta peningkatan pembelian kacang soya, gas asli dan trak pikap dari Amerika, menurut sumber kerajaan.
Takaichi turut menegaskan komitmen Jepun untuk mempercepatkan perbelanjaan pertahanan kepada 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sejajar dengan rancangan memperkukuh ketenteraan menghadapi ancaman China.
Trump memuji usaha Jepun meningkatkan keupayaan pertahanan dan pembelian peralatan ketenteraan dari Amerika.
Dalam pertemuan itu, Takaichi dikatakan turut memaklumkan hasratnya mencalonkan Trump untuk Anugerah Nobel Keamanan, lapor media tempatan.
Selain perbincangan utama, Takaichi menawarkan Trump kelab golf milik mendiang bekas Perdana Menteri Shinzo Abe sebagai simbol persahabatan erat antara Abe dan Trump semasa tempoh kepimpinan lalu.
Trump dan Takaichi dijadual melawat pangkalan tentera laut Amerika di Yokosuka, lokasi berlabuh kapal pengangkut pesawat USS George Washington, serta menandatangani perjanjian mengenai mineral kritikal dan nadir bumi yang penting untuk industri teknologi dan pertahanan.
Trump akan meneruskan lawatan ke Korea Selatan pada Rabu dan dalam rangka lawatan sama beliau dijadual bertemu Presiden China, Xi Jinping bagi membincangkan kemungkinan gencatan dalam perang dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu. - REUTERS