MANILA, 17 November- Taufan Super Man-yi telah mengakibatkan pokok tumbang, terputus bekalan elektrik dan menerbangkan bumbung rumah penduduk ketika ia membadai Filipina, pada Ahad.
Ini merupakan kejadian terbaru dalam siri cuaca ekstrem yang jarang melanda negara itu.
Man-yi masih membawa angin kencang dengan kelajuan maksimum 185 kilometer sejam selepas melanda pulau Catanduanes yang berpenduduk rendah pada malam Sabtu.
Lebih daripada 650,000 orang telah dipindahkan dari kediaman mereka sebelum Man-yi tiba, selepas perkhidmatan cuaca negara memberi amaran mengenai kesan "berpotensi bencana dan mengancam nyawa" akibat ribut tersebut.
"Tiada kematian dilaporkan, mungkin kerana penduduk mematuhi arahan pemindahan.
“Semua bandar terjejas, tetapi kami menjangka kawasan di utara mengalami kerosakan lebih teruk. Sekarang hanya tinggal angin sepoi-sepoi dan hujan renyai,” kata Ketua Operasi Bencana Wilayah Catanduanes, Roberto Monterola kepada AFP pada Ahad ketika usaha pembersihan sedang giat dijalankan.
Man-yi dijangka "sedikit melemah" sebelum melanda Luzon, pulau paling padat dengan penduduk dan pusat ekonomi Filipina pada petang Ahad, menurut peramal cuaca.
Daerah Panganiban di timur laut Catanduanes menerima kesan langsung daripada taufan Man-yi.
Gambar yang dikongsi di laman Facebook Datuk Bandar Cesar Robles menunjukkan talian elektrik tumbang, rumah yang rosak, serta pokok dan bumbung besi beralun yang berselerakan di jalan raya.- AFP