GAZA, 17 November- Sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di barat kem pelarian Nuseirat, Gaza tengah, semalam.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), sumber perubatan melaporkan bahawa serangan itu turut menyebabkan beberapa individu lain mengalami kecederaan.
"Sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin terbunuh selepas jet Israel mengebom sebuah rumah milik keluarga Abu Armana berhampiran Sekolah Al-Sawarha di barat kem tersebut," lapor WAFA.
Dalam perkembangan lain, tentera Israel terus memusnahkan bangunan di kawasan barat kem pelarian Jabalia, utara Gaza.
Artileri Israel juga dilaporkan mengebom bandar Beit Lahia, utara Gaza.
Pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Gaza sejak Oktober tahun lalu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 43,799 kematian rakyat Palestin, manakala lebih 103,601 lagi mengalami kecederaan.
Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, yang tidak dapat diselamatkan akibat serangan berterusan Israel.