LIMA, 17 November- Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping, bersetuju pada Sabtu bahawa keputusan penggunaan senjata nuklear perlu dibuat oleh manusia, bukan kecerdasan buatan (AI).
"Kedua-dua pemimpin menegaskan keperluan untuk mengekalkan kawalan manusia terhadap keputusan penggunaan senjata nuklear," menurut kenyataan tersebut.
Mereka juga menekankan keperluan untuk mempertimbangkan risiko secara berhati-hati dan membangunkan teknologi AI dalam bidang ketenteraan dengan cara yang bijaksana dan bertanggungjawab," menurut kenyataan White House.
Kementerian Luar China tidak memberikan respons segera terhadap permintaan untuk komen mengenai perkara itu.
Namun, ia tetap menjadi langkah pertama yang penting dalam perbincangan antara dua kuasa besar mengenai dua isu kritikal yang sering menemui jalan buntu iaitu senjata nuklear dan AI.
Amerika Syarikat (AS) telah berusaha selama berbulan-bulan untuk mendorong China melibatkan diri dalam rundingan kawalan senjata nuklear, yang selama ini ditentang Beijing.
Rundingan rasmi mengenai kawalan senjata nuklear dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat, meskipun AS risau dengan perkembangan pesat persenjataan nuklear China.
Sejak 2020, China telah memodenkan program nuklearnya termasuk memulakan pengeluaran kapal selam peluru berpandu balistik generasi baharu, menguji kepala peledak hipersonik, dan menjalankan rondaan laut secara berkala dengan senjata nuklear.
Dengan senjata di darat, udara, dan laut, China kini memiliki "triad nuklear", ciri khas bagi kuasa nuklear utama.
Walaupun begitu, China secara rasmi mengekalkan dasar "tidak akan menggunakan dahulu" (no first use) dan mempertahankan kemampuan nuklear minimum yang bersifat pencegahan.
China turut menggesa kuasa-kuasa lain untuk mengamalkan dasar sama.-REUTERS