SYDNEY, 17 November- Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyatakan hubungan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu dipilih, Donald Trump, bermula dengan "sangat baik".
Hal itu dizahirkan menerusi panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin selepas pemimpin Parti Republikan itu berjaya memenangi pilihan raya, baru-baru ini.
Albanese memaklumkan kepada Trump bahawa AS mempunyai lebihan dagangan dengan Australia dan menekankan bahawa adalah penting untuk Washington "berdagang secara adil" dengan sekutunya.
Semasa pentadbiran pertama Trump, Australia berjaya mendapatkan pengecualian daripada tarif AS ke atas eksport aluminium dan keluli negara itu.
Dalam kenyataan yang disiarkan oleh Sky News pada Ahad, Albanese menggambarkan panggilan tersebut sebagai "permulaan yang sangat baik untuk hubungan kami."
"Ia merupakan panggilan telefon yang positif. Kami berbual selama 10 minit dan ia merupakan salah satu panggilan pertama yang beliau lakukan," kata pemimpin kerajaan Buruh berhaluan kiri-tengah Australia itu dalam satu kenyataan.
Panggilan Albanese dengan Trump turut menyentuh isu hubungan keselamatan, termasuk perjanjian AUKUS, yang bakal menyaksikan Australia membeli kapal selam nuklear dari AS pada dekad akan datang serta membangunkan kelas baharu kapal selam berkuasa nuklear dengan kerjasama AS dan Britain.
Menteri Luar Australia, Penny Wong, turut menyatakan bahawa kerajaannya yakin dengan hubungan sekutu bersama AS, rakan keselamatan terbesar negara tersebut.- REUTERS