BAITULMAQDIS, 17 November- Tiga lelaki ditahan polis Israel pada Ahad, selepas dua suar mendarat berhampiran kediaman Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di bandar Caesarea.
“Tiga suspek ditahan malam tadi kerana terlibat dalam kejadian tersebut,” kata polis dalam satu kenyataan, sambil menambah suspek akan disoal siasat bersama Agensi Keselamatan Dalam Negeri Shin Bet.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa mahkamah telah mengeluarkan perintah larangan untuk menerbitkan butiran siasatan atau identiti suspek selama 30 hari.
Dua suar dilaporkan mendarat berhampiran kediaman Netanyahu di Caesarea pada petang Sabtu dalam satu insiden yang Shin Bet sifatkan sebagai "kejadian serius," meskipun perdana menteri tidak berada di lokasi pada masa tersebut.
Speaker parlimen Israel, Amir Ohana, menuduh penunjuk perasaan antikerajaan bertanggungjawab ke atas kejadian itu.
"Tanda-tandanya jelas, di dinding, di jalanan, dalam mesej yang bersifat menghasut, dan di demonstrasi," katanya, merujuk kepada protes anti-kerajaan yang kerap berlaku sejak awal tahun 2023.
Dalam sembilan bulan menjelang serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, Israel menyaksikan protes besar-besaran terhadap pembaharuan kehakiman kontroversi yang diperkenalkan oleh kerajaan kanan Netanyahu, yang menurut penentang, merupakan ancaman kepada demokrasi Israel.
Walaupun pembaharuan itu digantung apabila perang tercetus, protes terhadap Netanyahu dan kerajaannya masih berterusan, termasuk demonstrasi menyeru perjanjian untuk membebaskan tebusan di Gaza.
Presiden Israel, Isaac Herzog, mengecam insiden pada Sabtu itu dan memberi amaran "terhadap peningkatan keganasan dalam ruang awam."
"Saya kini telah bercakap dengan ketua Shin Bet dan menyatakan keperluan mendesak untuk menyiasat dan menangani mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian ini secepat mungkin," kata Herzog dalam satu hantaran di X.-AFP