TOKYO, 5 November- Jepun telah mengerahkan anggota tenteranya ke kawasan pergunungan di utara negara itu pada Rabu, bagi membantu pemasangan perangkap beruang, susulan peningkatan gelombang serangan haiwan liar itu.
Operasi tersebut bermula di bandar Kazuno, Wilayah Akita, apabila penduduk telah dinasihatkan untuk tidak memasuki hutan, kekal di rumah pada waktu malam serta membawa loceng, bertujuan menghalau haiwan berkenaan.
Menurut Kementerian Alam Sekitar, lebih daripada 100 serangan beruang direkodkan dengan 12 kematian di seluruh Jepun sejak April tahun ini.
Dua pertiga daripada kematian tersebut direkodkan di Akita dan Wilayah Iwate yang berdekatan.
"Biarpun orang ramai sentiasa waspada, bilangan insiden serangan beruang tidak berkurang kerana populasi haiwan itu kekal tinggi," kata Yasuhiro Kitakata, pegawai Kazuno.
Pihak berkuasa di Akita melaporkan penampakan beruang telah melonjak enam kali ganda tahun ini kepada lebih 8,000 kes, mendorong gabenor wilayah itu meminta bantuan daripada Pasukan Pertahanan Jepun, minggu lalu. -REUTERS