BEIRUT, 17 November- Israel melancarkan serangan udara baharu di kawasan selatan Beirut pada Ahad, menurut rakaman AFPTV, sehari selepas pengeboman besar-besaran ketika tentera Zionis menyatakan ia menyasarkan lokasi-lokasi milik Hizbullah.
Tiga serangan dilaporkan mengenai lokasi yang berasingan pada waktu pagi, menyebabkan asap putih tebal memenuhi kawasan sasaran, menurut rakaman tersebut.
Sebelum serangan terbaru, tentera Israel memberi amaran kepada penduduk di Hadath, Burj al-Barajneh, dan Chiyah untuk meninggalkan kawasan itu, dengan alasan mereka berada berhampiran "tapak dan aset milik Hizbullah."
Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi Lebanon melaporkan pesawat musuh melancarkan serangan besar berhampiran Hospital St. George di Hadath.
Serangan lain turut mengenai sebuah bangunan kediaman berhampiran gereja Mar Mikhail di Chiyah, menurut laporan NNA.
Pada waktu subuh, tentera Israel menyasarkan serangan ke beberapa kampung di selatan Lubnan, termasuk tujuh serangan di Jebchit dalam tempoh kurang dua jam, tambah agensi berita itu.
Sementara itu, Hizbullah menyatakan bahawa mereka telah terlibat dalam pertempuran sepanjang malam dengan pasukan Israel berhampiran Chamaa, kira-kira lima kilometer dari sempadan Israel.
Pertempuran itu dilaporkan melangkaui kampung-kampung sempadan.
Sejak 23 September, Israel telah meningkatkan serangan udara di Lubnan dan kemudian menghantar pasukan darat susulan hampir setahun pertukaran serangan rentas sempadan yang dimulakan oleh Hizbullah berkaitan perang di Gaza.-AFP