(Seorang nelayan mengikat bot miliknya untuk melindungi daripada
taufan Noru di Danang pada 27 September 2022/AFP)
DANANG, 28 September- Taufan Noru membadai pantai tengah Vietnam awal pagi tadi, membawa angin kencang dan hujan lebat ketika ratusan ribu orang berpindah ke tempat perlindungan.
Di Danang, bandar ketiga terbesar di Vietnam, bangunan tinggi bergegar ditiup angin kuat yang menumbangkan pokok dan menerbangkan bumbung rumah di seluruh wilayah tengah.
Media melaporkan bekalan elektrik terputus dalam skala besar.
"Kedudukan pusat taufan pada 4.00 pagi adalah antara Danang dengan Quang Nam dengan kelajuan angin 103 hingga 117 kilometer sejam," kata Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan.
(Dua penduduk membawa bekalan di luar sekolah rendah yang digunakan sebagai tempat
perlindungan semasa Taufan Noru di Hoi An, wilayah Quang Nam Vietnam AFP)
Lebih 200,000 orang di Vietnam telah berpindah ke pusat perlindungan semalaman, ribut itu diramal menjadi salah satu yang terbesar melanda Vietnam.
Hujan lebat dijangka menyebabkan tanah runtuh dan banjir yang serius.
Kementerian Pertahanan telah menggerakkan sekitar 40,000 askar dan 200,000 anggota militia, dilengkapi kenderaan berperisai dan bot sebagai persediaan untuk operasi menyelamat dan bantuan, kata media kerajaan.
Hampir separuh daripada lapangan terbang, sekolah dan pejabat di beberapa wilayah tengah termasuk di Danang ditutup..
Bahagian tengah lebuh raya yang menghubungkan Hanoi di utara dengan hab komersial Ho Chi Minh City di selatan juga telah ditutup. -AFP
(Taufan Noru membadai pantai tengah Vietnam awal pagi tadi)