KINGSTON, 3 November - Pasukan mencari dan menyelamat bandar (urban search and rescue) dari Virginia dan California digerakkan ke Jamaica bagi membantu usaha pemulihan selepas Taufan Melissa kategori 5 memusnahkan sebahagian besar kawasan di pulau itu.
Menurut pegawai Virginia Task Force 1 (VA-TF1), Jabatan Negara Amerika Syarikat menghantar 34 anggota bersama empat pasukan anjing pengesan ke Jamaica. Pasukan berkenaan mula digerakkan ke beberapa kawasan di Jamaica pada Sabtu untuk menilai kerosakan, mengagihkan bekalan serta berinteraksi dengan penduduk setempat.
VA-TF1 ialah pasukan khas tindak balas bencana domestik dan antarabangsa yang bernaung di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Fairfax (FCFRD).
Ditubuhkan pada tahun 1986, pasukan itu pernah terlibat dalam misi bantuan di dalam dan luar Amerika Syarikat, termasuk bencana gempa bumi di Turkiye, Haiti, Ecuador dan Nepal, serta taufan besar seperti Hurricane Katrina pada tahun 2005.-REUTERS