fb fb fb fb fb

Iran ikrar bina semula kemudahan nuklear, kali ini lebih besar

FOTO REUTERS

TEHRAN, 3 November - Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mendedahkan negaranya akan membina semula kemudahan nuklear yang musnah dengan kekuatan lebih besar, namun menegaskan program itu tidak bertujuan menghasilkan senjata nuklear.

Kenyataan itu dibuat semasa lawatan beliau ke Organisasi Tenaga Atom Iran, di mana beliau turut bertemu dengan pengurusan tertinggi industri nuklear negara itu.

“Memusnahkan bangunan dan kilang tidak akan menimbulkan masalah kepada kami. Kami akan membinanya semula dengan lebih kuat,” katanya kepada media kerajaan.

Terdahulu pada Jun lalu, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap beberapa kemudahan nuklear Iran yang didakwa Washington sebagai sebahagian daripada program pembangunan senjata nuklear.

Namun, Tehran menegaskan program nuklearnya hanya untuk tujuan sivil, termasuk bidang kesihatan dan penyelesaian masalah rakyat.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump memberi amaran bahawa beliau akan mengarahkan serangan baharu ke atas tapak nuklear Iran sekiranya Tehran cuba menghidupkan semula kemudahan yang diserang sebelum ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE