fb fb fb fb fb

Protes sokong ibu mangsa runtuhan di Serbia bertukar tegang

FOTO REUTERS

BELGRADE, 3 November - Ketegangan tercetus di hadapan bangunan Parlimen Serbia apabila ratusan penunjuk perasaan berhimpun bagi menyokong Dijana Hrka, seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam insiden runtuhan bumbung stesen kereta api di Novi Sad tahun lalu.

Hrka memulakan mogok lapar awal pagi Ahad dengan duduk di kerusi berhampiran pagar logam yang menutup jalan menuju ke Parlimen, selepas dihalang polis daripada menghampiri kawasan yang kini diduduki penyokong kerajaan sejak Mac lalu.

Menjelang petang, keadaan bertukar tegang apabila penunjuk perasaan membaling suar ke arah kawasan khemah penyokong kerajaan, memaksa polis rusuhan campur tangan dan mengawal keadaan yang merebak ke jalan berdekatan.

Polis membentuk benteng manusia bagi memisahkan kedua-dua kumpulan, sementara penunjuk perasaan melaungkan kecaman terhadap pasukan keselamatan.

Gelombang protes di seluruh Serbia sejak beberapa bulan lalu, yang berpunca daripada ketiadaan tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab atas tragedi runtuhan itu, dilihat menggugat cengkaman kuasa Presiden Aleksandar Vucic dan mencetuskan desakan supaya pilihan raya awal diadakan.

Hrka dalam tuntutannya mendesak siasatan penuh terhadap kejadian tersebut dan mahu Presiden Vucic sendiri dipanggil memberi keterangan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE