ANDHRA PRADESH,3 November - India berjaya melancarkan satelit komunikasi terberatnya, CMS-03, ke orbit pada Ahad dari pusat angkasa negara itu di Sriharikota, menurut Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO).
Misi berkenaan menandakan penerbangan operasi kelima roket pelancar berat LVM3, yang digunakan bagi membawa satelit tersebut ke orbit.
Menurut Ketua ISRO, V. Narayanan, satelit CMS-03 seberat 4,410 kilogram itu berjaya dimasukkan dengan tepat ke dalam orbit mengikut spesifikasi ditetapkan.
Dalam kenyataan ISRO, satelit berkenaan direka untuk menyediakan liputan komunikasi di seluruh India serta kawasan laut berhampiran.-REUTERS