KINGSTON, 2 November - Ramalan cuaca AccuWeather dari Amerika Syarikat menjankakan jumlah kerosakan dan kerugian ekonomi di seluruh kawasan Caribbean barat dianggarkan mencecah antara AS$48 bilion hingga AS$52 bilion susulan dilanda Taufan Melissa.
Imej udara yang dirakam menggunakan dron memperlihatkan kemusnahan besar di sebahagian besar kawasan di Jamaica.
Melissa melanda barat daya Jamaica pada Selasa (28 Oktober) sebagai Taufan Kategori 5, iaitu tahap tertinggi dalam klasifikasi taufan dengan kelajuan angin jauh melebihi had minimum, sekali gus memusnahkan banyak kawasan yang sebelum ini turut terjejas akibat Taufan Beryl tahun lalu.
Menteri Penerangan Jamaica mengesahkan sekurang-kurangnya 19 kematian setakat Jumaat, namun menjangkakan angka korban meningkat apabila lebih banyak mayat ditemui.
Beliau turut memaklumkan seramai 462,000 penduduk masih terputus bekalan elektrik, manakala pengagihan makanan kecemasan telah mula dijalankan di beberapa kawasan terjejas.
"Keadaan di lapangan hanya boleh digambarkan sebagai ’apokaliptik’ (amat dahsyat)," kata Pengarah Program Makanan Dunia (WFP) Caribbean, Brian Bogart, pada sidang media selepas meninjau kawasan Black River, berhampiran lokasi taufan itu mula melanda daratan Jamaica.
Penerbangan membawa bantuan kemanusiaan mula tiba di Jamaica pada Khamis, manakala anggota tentera negara itu turut memanggil pasukan simpanan bagi membantu operasi menyelamat dan misi bantuan.
Menurut AccuWeather, Melissa merupakan taufan ketiga paling kuat pernah direkodkan di Caribbean, dan juga taufan paling perlahan pergerakannya, menyebabkan tahap kemusnahan bertambah teruk di kawasan terjejas.
Pakar sains menjelaskan bahawa taufan kini semakin cepat dan kuat akibat pemanasan suhu lautan yang berpunca daripada pelepasan gas rumah hijau.
Susulan itu, pemimpin-pemimpin Caribbean menyeru negara maju yang menjadi penyumbang utama pencemaran global supaya menyalurkan pampasan dalam bentuk bantuan atau pengurangan hutang kepada negara-negara yang terjejas akibat perubahan iklim.- REUTERS